Satu hari kita pergi kedai, nak beli henfon. Kita cari henfon mana yang paling kita perlukan, sesuai dengan fungsi yang kita mahu, sesuai dengan bajet yang kita ada. Dah jumpa mana yang berkenan dihati, kita pun beli. Dengan secara sahnya, kita adalah TUAN kepada henfon baru kita.

Apa yang kita expect bila dah menjadi TUAN?. Ya, kita mestilah expect henfon kita akan berkhidmat sepenuhnya kepada kita. Menjadi apa yang kita mahu semasa kita setuju untuk menjadi tuannya. Dan apa jadi kalau henfon tu tak menjalankan tugasnya? Pasti kita marah kan?

Inilah yang kita kena selalu ingat apakah tugas kita sebagai manusia di dunia ini. Kenapa Allah cipta kita? Siapa sebenarnya kita?

Manusia, dan semua makhluk di langit dan bumi adalah HAMBA ALLAH. Allah itu TUHAN kita. Kenapa dia cipta kita? Supaya kita menyembah, memuji dan meminta hanya padaNya. 





QADA' & QADAR

Semasa proses Allah ciptakan makhluknya, Allah dah tetapkan qada' & qadar untuk setiap makhluk itu. Rupanya, siapa ibu bapanya, bagaimana kesihatan dan rezekinya, siapa jodohnya, berapa umurnya. Semua Allah dah tetapkan. Inilah yang dipanggil Qada' & Qadar. Dan Qada' & Qadar ini bukan hanya perkara yang elok-elok sahaja. Qada' & Qadar juga termasuk perkara yang kita tak suka yang kita sebut sebagai UJIAN.

Contohnya;

Ada orang diuji dengan kemiskinan, lahir dalam keluarga miskin, ada penyakit dan sebagainya.

Ada pula orang yang diuji dengan umur yang pendek, atau umur anak-anak yang pendek. 

Ada juga yang diuji dengan kebodohan. Maksudnya otak mereka lambat pickup. Tak cergas belajar seperti orang lain.

Dan bermacam-macam lagi ujian. Seperti kehilangan rezeki, dilahirkan lembut bagi lelaki, dan sebagainya.

Kesemua ini merupakan ujian yang sudah termaktub dalam qada' & qadar kita. Ujian yang merupakan perkara yang Allah dah tetapkan sebenarnya untuk mengangkat darjat kita. Sekiranya kita TIDAK BERPALING daripada Allah.

APAKAH MAKSUD TIDAK BERPALING?

Tidak berpaling bermaksud, kita sabar, solat, dan memohon keampunan Allah. Sekiranya kita mampu bersabar, darjat kita memang akan naik disisi Allah. Dan Allah akan ganti apa yang kita hilang dengan benda yang lebih baik.

Tapi sekiranya kita berpaling, maka gagal lah kita akan ujian yang diberikan tadi. Dan yang lebih menakutkan, kalau kita semakin jauh dari Allah. Sehingga membuatkan kita mendapat azabnya yang amat pedih.

Betapa ramai dikalangan kita, yang apabila ditimpa ujian, kita marah, kita salahkan Allah. Kita kata Allah tak sayang kita. Kita kata Allah saja nak hancurkan kita. Kita putus asa. Kita tanak solat, tanak sembah Allah sebab kita rasa dah tak berguna. Kita jadi kejam terhadap orang lain kerana kita rasa Allah tak adil kepada kita. Kita ikut nafsu kita kerana kononnya itu adalah hak kita.

Betulkan? Betul. Sebab saya sendiri pernah merasainya. Saya marah, kecewa, benci, semua berkecamuk dalam jiwa. Tapi akhirnya kemarahan itu tak mendatangkan apa-apa,  kita tetap juga perlu berpatah balik semula..Siapa kita nak marah-marah?...Siapa kita nak mempersoalkan qada' & qadar Allah?...kita HAMBA....HAMBA......

USAHA, DOA, TAWAKKAL

Habis buat apa nak usaha? Nak doa? Kalau semuanya Allah dah tetapkan? Kenapa nak usaha kalau akhirnya itulah yang Allah dah tetapkan untuk kita?

Allah takkan ubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu sendiri yang merubahnya. Allah memang boleh beri apa sahaja dalam sekelip mata. Tapi sunnah Rasulullah saw, kita perlu usaha untuk merubah nasib kita.

Rasulullah saw tidak tidur sahaja dirumah untuk menyebarkan islam, walaupun bagindalah orang yang paling tahu akan qada' & qadar Allah. Baginda juga orang yang paling banyak solat dan berdoa, walaupun baginda sangat mengetahui Allah paling menyayangi baginda dari kalangan para nabi dan rasul.

Allah Maha Mengetahui. Allah tahu apa yang didalam isi hati kita. Walaupun ia merupakan isi yang paling kecil sedalam-dalamnya. Tapi ingatlah Allah itu TUHAN kita. Kita ini HAMBA dia. Allah mahu melihat usaha kita, dan mendengar rintihan kita meminta apa kita hajati, supaya ia menjadi asbab Allah berikan kita apa yang kita mahu.

Ya, qada' & qadar boleh berubah mengikut usaha dan doa kita. Allah Maha Baik. Walaupun Dia dah tetapkan qada & qadar kita, kalau kita tidak sombong, kita buang ego kita, kita bersujud, merintih kepadaNya, Allah akan makbulkan doa kita, pada waktu dan ketika yang paling baik. Bila Allah nak beri, itulah tawakkal. Kerana yang Maha Mengetahui itu Allah. Hanya Dia yang tahu bila masa yang terbaik untuk kita mendapatkan apa yang kita hajati.

SAYA DAH DOA YA ALLAH, KENAPA BEGINI JUGA KESUDAHANNYA?

Allahu Akhbar.
Allahu Akhbar.
Allahu Akhbar.

Allah Maha Besar. Ingatlah kembali. Apa pun yang kita lakukan. Sebanyak mana pun amalan, sampai hitam-hitam pun dahi kita sujud pada Nya, kita masih HAMBA Allah.

Allah itu TUHAN kita. Dia layak buat apa sahaja pada kita. Dia yang cipta kita. Dia nak uji kita, itu hak Dia sebagai TUHAN. Apabila kita sudah berusaha sehabis baik sampai  dah tak mampu lagi nak usaha dah, dah berdoa sebanyak-banyaknya, masih juga begitu, kembalilah semula kepada qada' & qadar yang Allah sudah tetapkan.

Redhalah, jangan berpaling dariNya, kerana sudah Allah sebutkan didalam Al-Quran, orang yang bersabar terhadap ujian yang Allah berikan, nescaya syurga menunggu mereka.
Dari Jabir r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda ; Pada hari kiamat kelak, ketika orang-orang yang pernah diuji diberikan balasan baik, maka orang-orang yang sihat ketika didunia akan berharap andainya kulit mereka dihiris-hiris ketika didunia.( Riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Abi Dunya). Begitulah balasan orang yang hidup didunianya penuh ujian, tetapi mendapat balasan yang baik diakhirat kerana sabar dan redha mereka.

SYUKUR AKAN MENGUBAT HATI.

Sesungguhnya, apabila kita susah, pasti akan ada lagi makhluk Allah yang lebih susah. Contoh yang paling mudah untuk diingati adalah hidup kekasih kita, Nabi Muhammad SAW.

Nabi Muhammad SAW lahir sahaja sudah tidak mempunyai ayah. Apabila umur baginda 6 tahun ibunya pula pergi meninggalkan baginda. Hidupnya pula miskin, menagih kasih pada atok dan pakciknya sahaja. Pakcik kesayangannya pula mati dalam kekafiran, tidak mendapat hidayah dari Allah untuk memeluk islam.

Kesemua anak-anak nabi Muhammad meninggal dunia sebelum baginda wafat. Kecuali anak baginda Fatimah Az-Zahra. Kalau kita ditakdirkan sedekian rupa. Adakah kita akan jadi hamba yang masih taat?. Itu baru sahaja cerita pada keluarga baginda sahaja, belum lagi segala jenis penyeksaan yang orang kafir Quraisy terhadap baginda.

Syukurlah, sesungguhnya nikmat dan rahmat Allah berikan pada kita tidak terhingga. Sehingga kita nak menyebut perkataan Alhamdulillah itu pun merupakan hadiah dari Allah. Cuba bayangkan kalau kita tak mampu nak fikir pun perkataan Alhamdulillah, apa lagi menyebutnya. Syukur...
bersyukurlah kita dengan berusaha untuk lebih dekat pada Allah, dengan mentaati perintahNya, dan meninggalkan segala laranganNya.

PANDANGAN BERUBAH. 

Apabila kita faham qada' & qadar, kita faham ujian, kita tak akan mudah menghina orang lain. Atau memandang seseorang dengan pandangan yang buruk.

Bila kita melihat aib seseorang, kita tahu, Allah sangat menyayangi orang itu, Allah sedang mengujinya untuk mengangkat darjatnya.

Bila kita lihat seseorang ditimpa bencana, kita akan nampak, masyaAllah, sekiranya orang itu bersabar, Allah sedang menyediakan syurga padanya di hari akhirat. Sungguh beruntung orang itu.

Berdoalah untuk mereka. Supaya mereka tidak berpaling. Supaya mereka menjadi orang yang sabar dan redha. Kerana seorang mukmin mendoakan untuk mukmin yang lainnya, malaikat akan mendoakan mukmin yang berdoa itu doa yang sama. Dan doa malaikat, doa makhluk yang langsung tiada dosa, 100% makbul. InsyaAllah. 

Jadilah makhluk Allah yang baik. Kerana Allah suka pada hambanya yang baik dan berlemah lembut. Wallahualam.



Aku mendoakan sahabat yang membaca coretan ku ini akan diberi bahagia oleh Allah didunia dan diakhirat. Allah berikan kamu rezeki dan kesihatan. Allah berikan kasih sayangNya kepada kamu dan semua keluarga kamu. Sabarlah wahai sahabat, sesungguhnya Allah sangat sayangkan kamu, sehingga Allah temukan kamu dengan coretanku ini untuk kamu lebih mengenaliNya..❤️

Semoga Allah ampunkan dosa-dosa kita, semoga Allah ampunkan dosa-dosa kita.

~ Raihana Abdul Aziz, Jalan Pantai Luak, Miri, Sarawak.